Musim cuti sekolah sudah bermula. Pasti ramai merancang pulang ke kampung dan pergi bercuti dengan memandu kereta ke destinasi yang jauh.
Justeru, mereka perlu merancang perjalanan dan mematuhi peraturan lalu lintas yang mungkin banyak kenderaan di jalan raya bagi mengelak risiko buruk Ketika memandu.
Ikuti lapan petua di bawah untuk perjalanan yang Selamat.
Pastikan membawa kereta untuk melakukan pemeriksaan di pusat servis yang bertauliah terutama sekali sebelum membuat pemanduan jarak jauh.
Elakkan membuat perjalanan pada saat-saat akhir serta tergesa-gesa kerana emosi anda mungkin terganggu.
Jika anda berasa mengantuk, di bawah pengaruh alkohol atau berada dalam keadaan yang tidak tenteram, tangguhkan perjalanan anda.
SENTIASA IKUT HAD LAJU YANG DITENTUKAN
Had laju ditentukan bukan bertujuan untuk menyusahkan sesiapa, malahan ia membantu dan menyelamatkan pengguna jalan raya.
Memecut dengan laju boleh membunuh. Had laju maksimum di lebuh raya ialah 110 kilometer (km) sejam.
Jika hari hujan, kurangkan kelajuan anda. Hal ini disebabkan oleh faktor keadaan jalan raya yang licin serta penglihatan yang kurang jelas.
Tangguhkan perjalanan anda di hentian rehat dan rawat (R&R) sekiranya cuaca amat buruk.
Had laju bagi bas dan lori tidak boleh melebihi 90 km sejam. Ini penting bagi menjamin keselamatan kenderaan kecil yang lain serta mengelakkan daripada terbabas.
Bagi motosikal pula, had laju maksimum yang dinasihatkan ialah 60 km sejam. Jika semua pengguna jalan raya mematuhi had laju ini, kadar kemalangan jalan raya dapat dikurangkan dan semua orang akan sampai ke destinasi dengan selamat.
BERI ISYARAT DAN PATUHI SEMUA PERATURAN KESELAMATAN SEMASA MENUKAR LORONG
Periksa cermin sisi dan cermin pandang belakang sebelum melakukan penukaran lorong.
Sebelum menukar lorong, pastikan keadaan selamat dan tiada kenderaan di sebelah sisi mahupun yang sedang datang dari belakang.
Berikan isyarat memotong (signal). Periksa cermin sisi dan cermin pandang belakang sekali lagi. Jika keadaan betul-betul selamat, lakukan penukaran Lorong.
BERHENTI APABILA LAMPU ISYARAT MERAH ATAU KUNING DAN BERI KEUTAMAAN KEPADA PEJALAN KAKI
Sentiasa patuhi peraturan jalan raya dengan berhenti apabila lampu isyarat merah atau kuning dan beri keutamaan kepada pejalan kaki.
Ingat, merah tanda berhenti dan kuning tanda untuk sedia berhenti, bukan tanda untuk anda memecut dengan lebih laju.
erhentilah di setiap persimpangan. Elakkan dari terus memasuki simpang tanpa memastikan keadaan selamat.
Jika anda bernasib baik, anda akan selamat. Tetapi adakah anda akan selalu bernasib baik? Jalan yang terbaik ialah, berhenti apabila lampu isyarat merah, berhenti di persimpangan dan pastikan keadaan selamat serta beri laluan kepada pejalan kaki.
Elakkan daripada mementingkan diri sendiri.
ELAKKAN DARIPADA MENGEKORI KENDERAAN LAIN
Elakkan daripada mengekori kenderaan lain pada sepanjang masa kerana ini sering menjadi punca kemalangan serius.
Jagalah jarak anda dengan kenderaan di hadapan. Elakkan dari mengekori terlalu rapat.
Hal ini penting dalam mengelakkan kemalangan hentam belakang.
Amalkan peraturan 2 saat, 4 saat dan 12 saat. Jika kenderaan hadapan menekan brek secara tiba-tiba, sekurang-kurangnya anda masih sempat menekan brek, sekali gus dapat mengelak daripada melanggar kereta hadapan.
PATUHI GARIS PANDUAN KESELAMATAN SEMASA MEMOTONG
Jangan memotong secara teragak-agak. Periksa cermin sisi dan cermin pandang belakang. Berikan lampu isyarat sebelum memotong.
Pastikan keadaan di arah bertentangan adalah selamat. Periksa cermin sisi dan cermin pandang belakang sekali lagi. Jika semuanya selamat, barulah memotong.
JANGAN MEMOTONG BARISAN ATAU MENYALAHGUNAKAN LORONG KECEMASAN
a bukan sahaja biadab, malah membahayakan semua pengguna. Kebiasaannya, perbuatan memotong barisan berlaku ketika berada di plaza tol mahupun ketika keluar dari simpang.
Elakkan dari memotong barisan kerana perbuatan ini amat mementingkan diri sendiri serta berbahaya.
Beratur mengikut barisan agar keselamatan anda lebih terjamin.
Lorong kecemasan di lebuh raya adalah salah satu lorong trafik. Oleh itu, jangan sesekali anda berhenti rehat di lorong tersebut.
Perkara ini sangat membahayakan, terutama sekali jika anda tidak meletakkan tanda amaran dalam jarak 100 meter.
Kemungkinan akan berlaku kemalangan kerana terdapat kenderaan yang menggunakan lorong kecemasan seperti motosikal, ambulans, bomba dan sebagainya yang tidak nampak kenderaan anda sedang berhenti.
Risiko kemalangan di sini adalah sangat tinggi. Jika kenderaan anda rosak, elakkan meletak kenderaan di lorong kecemasan. Hubungi kenderaan penunda dan alih kenderaan anda ke tempat lain dengan segera.
ELAKKAN MENCELAH
Elakkan mencelah di antara kenderaan lain kerana ini membahayakan keselamatan anda dan juga orang lain.
Perbuatan mencelah bukan sahaja selalu dilakukan oleh penunggang motosikal, malahan ada juga segelintir pemandu kereta yang berani melakukannya.
Tahukah anda perbuatan ini adalah sangat berbahaya, bukan sahaja pada diri, bahkan nyawa orang lain juga mungkin turut melayang akibat perbuatan itu.
Amalkan pemanduan secara berhemah, semoga anda sampai ke destinasi yang dituju dengan selamat.
* Terbitan Persatuan Keselamatan Pengguna Kuala Lumpur (PKPKL); PKPKL@hotmail.com dengan kerjasama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK)